
Kuala Lumpur, 3 Julai 2025 — Seramai 22 mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya melaksanakan Program Media Etiquette bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Orked Desa, Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada projek akademik bagi kursus Undang-undang Media, Peraturan dan Etika.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelajar sekolah terhadap kepentingan beretika semasa menggunakan media sosial, selain memupuk budaya hormat-menghormati dalam komunikasi digital. Seramai 78 pelajar Tingkatan 3 terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti interaktif yang menarik dan mendidik, antaranya Talk Show: Respect and Behaviourism, Mystery Box Etiquette Card Game – Post or Pass, Emoji Drama, Like and Report Movement Game, dan Blindfold Maze: Trust the Feed.
Aktiviti-aktiviti ini membolehkan pelajar memahami dengan lebih mendalam konsep penggunaan media secara berhemah serta menzahirkan kerjasama yang positif dan keterlibatan aktif sepanjang program. Maklum balas daripada peserta menyifatkan program ini sebagai menyeronokkan, relevan dan penuh manfaat.


Bagi mahasiswa UiTM, program ini membuka ruang untuk mengaplikasikan teori secara praktikal, selain memperkukuh kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi efektif dengan komuniti luar kampus. Inisiatif ini mencerminkan pendekatan pembelajaran berimpak tinggi yang menyatukan akademik dan khidmat masyarakat.
Program ini juga memperteguh peranan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited melahirkan graduan beretika, bertanggungjawab dan peka terhadap isu sosial semasa, selaras dengan keperluan era digital masa kini.
Secara keseluruhan, Program Media Etiquette telah berjaya mengukuhkan jalinan hubungan strategik antara UiTM dan komuniti sekolah, serta membuka ruang pembelajaran dua hala yang berkesan dan bermakna buat semua yang terlibat.
