UiTM Perak Perkasa Pendidikan Pertanian Moden Melalui Program Hydropreneur: Agro Siswa Lestari

Seri Iskandar, 5 Julai 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak terus mengukuhkan komitmennya terhadap kelestarian kampus dan pendidikan pertanian moden dengan menerima sumbangan satu set sistem hidroponik lengkap bernilai RM3,500 daripada Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah. Majlis penyerahan rasmi telah diadakan pada 20 Jun 2025, hasil inisiatif Program Kokurikulum Usahawan Tani (HGD145) anjuran bersama Hal Ehwal Pelajar (HEP), di bawah bimbingan Dr Wan Noor Anira Hj Wan Ali @ Yaacob.

Program yang dinamakan Hydropreneur: Agro Siswa Lestari ini dirangka khusus untuk memperkenalkan konsep pertanian bandar melalui kaedah hidroponik, seiring dengan falsafah pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan pendekatan pendidikan holistik UiTM. Ia turut dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Kampus Hijau dan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (PJIMA) sebagai langkah menyokong Petunjuk Prestasi Institusi (PI135) yang menekankan aspek kelestarian dan penglibatan komuniti kampus.

Majlis gimik penyerahan sistem hidroponik telah dirasmikan oleh Prof Madya Muhammad Abdul Aziz Abdul Ghani, Timbalan Rektor PJIM yang mewakili Rektor UiTM Cawangan Perak. Turut hadir ialah Puan Hadijah Salleh (Penolong Pendaftar Kanan Kokurikulum, mewakili TRHEP), Prof Madya Dr Nur Azfahani Ahmad (Penyelaras Kampus Hijau), Dr Nur Huzeima Mohd Hussain (Ketua Pasukan 4 Kampus Hijau), para pensyarah serta pelajar yang terlibat.

Taklimat teknikal dan sesi amali telah dikendalikan oleh Puan Huzaimah Mohd Said, Pembantu Pegawai Pertanian dari Jabatan Pertanian Perak Tengah. Seramai 39 pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman benih kangkung dan bayam menggunakan teknik hidroponik, dengan tunjuk ajar terus daripada pegawai teknikal. Sistem yang terdiri daripada 40 unit pasu tanaman ini telah ditempatkan berhampiran Pusat Mahasiswa (PUMA) sebagai tapak pembelajaran dan pemantauan sepanjang tempoh kursus.

Program ini memberi impak besar dalam meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan makanan (food security), kelestarian sumber, serta amalan pertanian hijau dalam kalangan pelajar. Ia juga menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk SDG 2: Zero Hunger, SDG 4: Quality Education, SDG 11: Sustainable Cities and Communities, SDG 12: Responsible Consumption and Production dan SDG 13: Climate Action.

Hydropreneur: Agro Siswa Lestari membuktikan kesungguhan UiTM dalam membudayakan nilai kelestarian di dalam kampus, sambil memperkasa pelajar dengan kemahiran teknikal dan keusahawanan. Melalui pendekatan bersepadu ini, UiTM Cawangan Perak bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, malah sebagai agen perubahan dalam merealisasikan pembangunan lestari yang inklusif dan berdaya tahan.