
Changkat Keruing, Perak, 21–22 Jun 2025 – Pusat Pengajian Pengurusan Taman dan Ameniti, Fakulti Alam Bina (FAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya melaksanakan program komuniti “Adopt-A-Tree” di Changkat Keruing Riverbank Park, Perak. Program ini membawa mesej utama “Bakau untuk Masa Depan” dan merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat masyarakat.
Program selama dua hari ini dijalankan sebagai komponen kursus PMG658: Community Organization, melibatkan penyertaan aktif seramai 35 orang pelajar tahun akhir bersama 2 orang pensyarah pengiring dari FAB, UiTM Shah Alam. Objektif utama adalah untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan hutan bakau dalam menangani isu perubahan iklim, hakisan pantai, serta pemeliharaan biodiversiti pesisir.
Hari pertama program telah diserikan dengan sesi pendidikan alam sekitar bersama 20 orang murid dan 3 orang guru pengiring dari Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Lumut, bertempat di Taman Paya Bakau Bandar Lumut (TPBBL). Pelajar UiTM telah merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif seperti kuiz, bengkel kreatif, ceramah santai dan aktiviti berkumpulan bagi menyemai kefahaman awal tentang kelestarian alam sekitar. Murid-murid turut berpeluang menanam anak pokok bakau, memberikan mereka pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bersifat praktikal.

Menjelang program, pelajar telah menjalankan aktiviti kutipan dana di sekitar kampus UiTM Shah Alam bagi menampung kos logistik dan pembelian anak pokok. Inisiatif ini mendapat sokongan industri melalui sumbangan tunai daripada Jalen Sdn. Bhd. dan sumbangan barangan keperluan daripada MR.DIY, memperlihatkan jalinan kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan sektor korporat dalam menjayakan agenda kelestarian.
Kemuncak program berlangsung pada hari kedua dengan aktiviti penanaman pokok bakau bersama komuniti Changkat Keruing. Acara ini disertai oleh pelajar, pensyarah, penduduk setempat, sukarelawan dan agensi berkaitan, mencerminkan semangat gotong-royong dan keprihatinan bersama dalam memelihara ekosistem pantai.
Menurut penyelaras program, gabungan pembelajaran berasaskan komuniti, sokongan industri dan penglibatan masyarakat setempat membentuk ekosistem pendidikan yang holistik dan bermakna dalam melahirkan graduan yang prihatin, cakna dan berdaya saing.
Program “Adopt-A-Tree” bukan sekadar aktiviti penanaman pokok – ia merupakan manifestasi cinta terhadap alam dan iltizam warga UiTM dalam menyemai masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang.
