
Puncak Alam, 16 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) terus memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan masyarakat dan tanggungjawab sosial melalui penganjuran Kempen Derma Darah Perdana UiTM sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2025. Program ini dianjurkan oleh Unit Komunikasi Korporat UCS dengan kerjasama Unit Kesihatan UCS, dan dilaksanakan serentak di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif nasional memperluas kesedaran tentang kepentingan menderma darah secara selamat.
Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat mengenai kepentingan pendermaan darah serta memupuk budaya kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan. YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, turut hadir menyantuni para penderma sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni ini.
Tiga kampus utama UCS—Kampus Puncak Alam, Kampus Puncak Perdana dan Kampus Sungai Buloh—telah berjaya mengumpulkan lebih 200 beg darah untuk disumbangkan kepada Pusat Darah Negara, sekali gus menunjukkan keprihatinan warga UiTM terhadap keperluan bekalan darah negara.


Selain aktiviti utama derma darah, kempen ini turut menampilkan pameran kesihatan, sesi kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah, serta perkongsian ilmu bertajuk “Kesedaran dan Cara Pencegahan Penyakit HIV”, yang bertujuan memperluas kefahaman peserta terhadap isu kesihatan awam.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM Cawangan Selangor dalam menyokong aspirasi universiti untuk melahirkan warga kampus yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat. Program seperti ini wajar diteruskan bagi menyemai semangat kesukarelawanan dan membudayakan nilai empati dalam kalangan mahasiswa dan komuniti kampus secara menyeluruh.
Penulis: Nor Azyyati Md Saad
Editor: Nor Azyyati Md Saad
