UiTM Kuala Pilah Perkasa Pendidikan STEM Sekolah Angkat melalui Bengkel Eksperimen Sains

Kuala Pilah, 29 Mei 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS), Kampus Kuala Pilah terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat sekolah apabila menganjurkan program Bengkel Eksperimen Sains: Menjana Minda Sains 2025 bersama pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Muhamad (SMAHMU), Bahau.

Program anjuran Special Interest Group (SIG) ECONATREA, Fakulti Sains Gunaan (FSG) dengan kerjasama Unit Makmal dan Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM) ini diketuai oleh Dr. Nur Hasyimah Ramli selaku Pengarah Program. SMAHMU, yang merupakan sekolah angkat kepada Pusat Pengajian Biologi (PPBio) UiTMCNS sejak awal tahun ini, menyertai bengkel ini sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh jaringan pendidikan komuniti.

Program dimulakan dengan lawatan makmal ke Makmal Fizik dan Makmal Kimia Instrumentasi, dikendalikan oleh Dr. Amin Aadenan dan Ts. Zubir Othman, memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang fungsi dan penggunaan peralatan saintifik. Seterusnya, pelajar menjalankan dua eksperimen utama iaitu Pengukuran Biological Oxygen Demand (BOD) menggunakan pewarna metilena biru bagi memahami tahap pencemaran air dan Pengkulturan Bacillus subtilis menggunakan teknik aseptik dan lorekan kultur, termasuk kajian terhadap faktor persekitaran yang mempengaruhi pertumbuhan bakteria.

Menurut Dr. Nur Azimah Osman, Koordinator Program Biologi FSG, aktiviti ini bukan sahaja memupuk minat dalam mikrobiologi, malah mengasah kemahiran makmal penting dalam bidang sains hayat.

Selain aktiviti makmal, pelajar turut menyertai kuiz interaktif Matematik menggunakan aplikasi Kahoot!, dianjurkan oleh JSKM. Sesi ini mencabar pelajar untuk berfikir secara kritis dan pantas dalam suasana yang kompetitif dan menyeronokkan.

Majlis penutup menyaksikan penyampaian sijil kepada fasilitator dan hadiah kepada pemenang kuiz, disempurnakan oleh Pengetua SMAHMU, Ustaz Azzhar Abd. Aziz, dan wakil FSG. Pengetua turut menandatangani buku pelawat UiTM sebagai simbol penghargaan atas kerjasama strategik ini.

Seramai 19 fasilitator terdiri daripada pensyarah dan staf makmal UiTMCNS terlibat dalam menjayakan program ini. Secara keseluruhan, bengkel ini berjaya mencapai objektif utama iaitu meningkatkan minat dan kefahaman pelajar terhadap Sains dan Matematik melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang interaktif dan menyeronokkan.

Program ini mencerminkan komitmen UiTMCNS dalam menyokong agenda nasional memperkasakan pendidikan STEM serta memperkukuh hubungan strategik bersama sekolah angkat dalam usaha melahirkan generasi celik sains dan berdaya saing.