
Kuala Lumpur, 22 Mei 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor sekali lagi mencatatkan pencapaian membanggakan apabila pelajarnya, Jerome Nicolas Ajack daripada Program Sarjana Muda Seni Reka Grafik, Kampus Puncak Alam, telah terpilih sebagai wakil rantau Asia-Pasifik untuk menyertai program berprestij antarabangsa HONOR 2025 Art & Tech China Tour.
Pengumuman rasmi berkenaan pemilihan ini telah disampaikan dalam satu sidang media yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur. Dalam majlis berkenaan, Encik Joseph Foo, Hakim Pertandingan HONOR Talents Global, telah menyampaikan replika simbolik tiket penerbangan kepada Jerome sebagai tanda penghargaan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif HONOR Malaysia, Encik Justin Li, serta wakil pensyarah Jabatan Grafik.
Program yang berlangsung dari 30 Jun hingga 9 Julai 2025 ini merupakan inisiatif berteraskan kolaborasi industri-akademik bertujuan memberi pendedahan eksklusif kepada peserta antarabangsa terhadap lanskap seni, teknologi dan budaya di China. Antara aktiviti utama yang dijadualkan termasuk lawatan ke ibu pejabat inovasi HONOR di Shenzhen, Forbidden City di Beijing, dan Huangpu Ancient Port di Guangzhou. Selain itu, peserta akan menghadiri HONOR Talent Design Summit serta mengikuti sesi pembelajaran di Central Academy of Fine Arts (CAFA), Beijing, dan China Academy of Art, Hangzhou.
Penyertaan Jerome bukan sahaja memberikan peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam persekitaran global, malah membuka ruang pembentukan jaringan profesional bersama bakat-bakat muda dari seluruh dunia. Inisiatif ini turut dijangka menjadi pemangkin kepada hubungan strategik antara Jabatan Grafik, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR) UiTM dan industri kreatif antarabangsa pada masa akan datang.
UiTM mengucapkan tahniah kepada Jerome atas pencapaian ini dan berharap agar kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada warga pelajar lain dalam mengejar kecemerlangan di peringkat global.
