
SHAH ALAM, 14 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) berjaya menganjurkan program FSR Sports Exposure 2025 di Dataran Gunasama FKPM, UiTM Shah Alam, sebagai inisiatif mempromosikan bidang pengurusan dan sains sukan kepada komuniti luar, khususnya pelajar sekolah.
Program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada kursus SRB549 – Pemasaran Sukan dan disertai oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (SR241) Semester 4. Objektif utama adalah untuk memperkenalkan program akademik FSR sebagai laluan pengajian yang berdaya saing dalam pasaran kerjaya semasa serta membina hubungan rentas institusi melalui pendidikan sukan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Dekan FSR. Turut menyerikan program ialah alumni terkemuka FSR, iaitu Hasnida Hanim Ahmad Kamil (Personaliti TV3) dan Syafiq Asyraf Zulkarnain (Pengulas Fox Sports), yang berkongsi inspirasi dan pengalaman dalam dunia penyiaran dan sukan.

Menurut Dr. Raja Firhad, program ini memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk meneroka prospek kerjaya dalam industri sukan yang kian pesat membangun. Hasnida Hanim pula menyifatkan penganjuran ini sebagai jambatan awal antara akademia dan industri, sekaligus membuka ruang kepada pelbagai peluang dalam bidang sukan, media dan keusahawanan.
Program ini turut mendapat kerjasama industri seperti TW Racing dan Pro Active Massage melalui demonstrasi dan pameran interaktif. Kehadiran sekolah jemputan seperti SMK Sungai Kapar Indah, SMK Damansara Damai 1, Kolej Tingkatan Enam Shah Alam dan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Selangor menambah kemeriahan dan signifikan terhadap sasaran program.
Ucapan penghargaan diberikan kepada penaja yang turut menyumbang kejayaan program ini termasuk ASHI Veterinary, DMS Niaga, Mikerpizza Sdn. Bhd., Vouloir Fragrances, Radone Enterprise, dan Qaiyum Berjaya.
Melalui inisiatif seperti FSR Sports Exposure 2025, UiTM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi unggul dalam pendidikan sukan dan pembangunan bakat pelajar holistik, selari dengan keperluan industri dan aspirasi negara.
