
KOTA SAMARAHAN, 10 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan menerusi Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101 apabila Mohd Faizal bin Jumadil, graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi dan Pengurusan Perladangan, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan (Sarjana Muda).

Berpaksikan semangat dan ketekunan luar biasa, anak kelahiran Tawau, Sabah itu merupakan satu-satunya dalam keluarganya yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti awam. Di samping pencapaian akademik yang cemerlang, penglibatannya yang aktif dalam kepimpinan dan kesukarelawanan turut melayakkan beliau menerima Anugerah Graduan Terbaik Kepimpinan UiTMCS (Sarjana Muda). Kedua-dua anugerah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Zarinah Anwar, Pro-Canselor UiTM, pada sesi pertama konvokesyen.
Dalam majlis yang sama, dua graduan turut menerima Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak iaitu Syarifah Nurazreen binti Wan Makhdar dan Hasya Hazirah binti Dzulkiflie. Anugerah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Zarinah Anwar dengan kehadiran Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Sarawak, Encik Watson Chunggat anak Leornard Doo.


Konvokesyen kali ini berlangsung selama tiga hari dari 10 hingga 12 Jun 2025, membabitkan lima sidang dan menyaksikan pengurniaan ijazah dan diploma kepada 1,521 graduan, termasuk 444 graduan ijazah sarjana muda dan 1,077 graduan diploma.
Istiadat ini juga menyentuh hati warga kampus apabila sijil diploma disampaikan kepada ibu bapa mendiang Muhd Isyraf, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika masih menuntut di semester kedua. Kecekalan dan pengorbanan beliau sebagai anak sulung yang gigih mencari rezeki buat keluarga dikenang dengan penuh penghormatan.
Penganjuran ini adalah kesinambungan kepada konvokesyen pusat yang diadakan di UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Sabah sebelum ini. UiTM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kerja UiTM Sarawak atas dedikasi dalam menjayakan istiadat penuh bersejarah ini.
Penulis:
Mohammad bin Abang dan Yaziz bin Kasim
