
SEREMBAN, 9 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS), Kampus Kuala Pilah, terus komited dalam memperkenalkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah melalui penyertaan aktif dalam Karnival S.T.E.A.M di SMKA Sheikh Haji Mohd Said (SMKA SHAMS) pada 24 April 2025.
Pameran ini melibatkan pelbagai pusat pengajian UiTMCNS, termasuk Pusat Pengajian Biologi (PPBIO), Pusat Pengajian Fizik dan Bahan (PPFB), Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), serta Pengajian Sains Pengkomputeran dan Matematik (PSPM). Kesemua pusat pengajian ini bekerjasama menyediakan aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengalami konsep sains secara praktikal.

Antara tarikan utama di reruai PPBIO adalah pameran model organisma laut dan darat, serta penggunaan mikroskop untuk mengkaji struktur sel. Di reruai PPFB, aktiviti Electric-fun menarik perhatian ramai dengan pengenalan asas litar elektrik secara praktikal.
Sementara itu, Jabatan Teknologi Makanan di bawah PPTI mempersembahkan demonstrasi penyediaan aiskrim ringkas yang turut mengetengahkan konsep saintifik dan aspek halal. Reruai Jabatan Teknologi Tekstil pula memberi pendedahan melalui ujian pembakaran serat dan demonstrasi mesin kait mini, serta projek pewarnaan fabrik menggunakan bahan semula jadi. Di reruai PSPM, pelbagai permainan berunsurkan matematik seperti metal-puzzle, equation solving, dan geometry-shape puzzle disediakan untuk merangsang minat pelajar terhadap matematik melalui pendekatan yang menyeronokkan.
Program ini secara keseluruhan memberi impak positif kepada pelajar dan pendidik, meneroka pendekatan pengajaran yang lebih kreatif. UiTMCNS berharap usaha ini akan terus menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi muda yang celik teknologi, inovatif, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
