SLIM RIVER, 13 April 2025 – Kumpulan Penyelidik Green Safe Cities (GreSafe), UiTM Cawangan Perak, dengan kerjasama Suncox Solar, Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Program Ukur Bangunan dan Building Surveying Student Association (BISA), telah menganjurkan program tanggungjawab sosial universiti (USR) di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Slim River, Perak pada 12 April lalu.
Projek ini bertujuan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan menyokong komuniti Orang Asli suku kaum Semai di sekolah tersebut, yang menampung kira-kira 200 pelajar. Inisiatif ini selaras dengan matlamat pembangunan lestari (SDG).
Program yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang dan dirasmikan oleh Guru Besar SK Pos Bersih, Encik Izanudin bin Ismail, melibatkan kerjasama “quadruple helix” antara akademia, pengamal industri, kerajaan, dan komuniti. Seramai 25 pensyarah dan 16 pelajar UiTM Cawangan Perak, 6 wakil Suncox Solar, 1 wakil RISM, serta 24 pelajar dan 3 guru SK Pos Bersih turut serta.
Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk Taklimat Asas Sistem Solar, Pemindahan Ilmu dan Teknologi Solar, pemasangan lampu solar, aktiviti Logo Solar, Rumah Solar Idaman, dan Mini Kipas Solar.
Pembiayaan program dan lampu solar adalah melalui Geran Kolaborasi Entiti Penyelidikan (KEPU) UiTM. Suncox Solar menyumbang kipas, lampu LED, dan stesen pengecas di Sudut Bacaan, manakala RISM menyumbang jamuan makan dan duit raya kepada pelajar Orang Asli.
Impak utama program ini adalah pemerkasaan teknologi solar dalam kalangan komuniti Orang Asli serta menyemai kesedaran tentang pemeliharaan alam sekitar dan teknologi hijau. Pemasangan lampu solar juga meningkatkan kelestarian tenaga dan keselamatan persekitaran sekolah.
Penulis : Profesor Madya Sr Dr Asmalia Che Ahmad, Profesor Madya Sr Dr Nur Azfahani Ahmad