Jerantut, 16 April 2025 — Dalam usaha memperkukuhkan kerjasama akademik dan membina sinergi strategik, delegasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut. Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan peluang kolaborasi dalam pendidikan dan inisiatif pembangunan komuniti, di samping mempererat hubungan ukhuwah antara kedua-dua pihak.
Kunjungan disambut dengan penuh penghormatan oleh YBrs. Puan Zairish binti Zakaria, Pegawai Pendidikan Daerah Jerantut, bersama timbalan-timbalan beliau. Pertemuan ini menyaksikan perbincangan mengenai pelbagai topik penting, antaranya pemerkasaan STEM-A, penyediaan peluang pendidikan diploma dan pra-diploma bagi pelajar lepasan SPM, serta inisiatif kemanusiaan melalui program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR). Pendekatan Adiwangsa UiTM, yang ditujukan khusus untuk memperkasakan sekolah-sekolah di daerah Jerantut, turut menjadi agenda utama
UiTM Cawangan Pahang berharap agar hubungan erat yang terjalin ini akan terus mekar, membuka lebih banyak peluang untuk kolaborasi strategik demi memacu kecemerlangan generasi muda dan melahirkan anak bangsa yang berdaya saing di masa hadapan.
Penulis : Mohd Risham Jaafar, Dr Neni Kartini Che Mohd Ramli dan Dr. Nurul Diyana Sanuddin