Taklimat Kemasukan Ijazah Kejuruteraan Awam UiTM Pahang Sasar Pelajar Kolej Vokasional Kuala Lipis

Jengka, 16 April 2025 – UiTM Cawangan Pahang telah mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan hubungan pendidikan dengan Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, Kuala Lipis melalui program promosi dan taklimat kemasukan ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) dengan Kepujian. Program ini bertujuan untuk menarik minat pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kolej Vokasional untuk melanjutkan pengajian di UiTM, sekali gus memperkasakan kerjasama antara institusi pendidikan. Impak utama program ini ialah membuka peluang lebih luas kepada pelajar untuk mencapai kemajuan dalam bidang teknologi kejuruteraan awam yang semakin pesat berkembang.

Pada 11 Mac 2025, dua orang Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang iaitu En Zulhafizal bin Othman dan En Mohd Risham bin Jaafar telah memberi taklimat ini melibatkan 35 pelajar dan 7 pengajar Diploma Teknologi Pembinaan. Sesi taklimat melibatkan hal ehwal proses pengajian, dan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Kampus Jengka.

Selain itu, wakil pengajian turut mengadakan sesi kunjungan hormat bersama En Ariffin Bin Awang, Timbalan Pengarah Akademik, serta En Mohd Ariff Bin Mustaffa @ Azhar, Ketua Program Teknologi Pembinaan. Dalam pertemuan ini, perbincangan terperinci diadakan mengenai langkah-langkah strategik untuk menggalakkan kemasukan pelajar dari Kolej Vokasional ke UiTM. Antara cadangan yang dikemukakan termasuk lawatan rasmi pelajar Kolej Vokasional ke UiTM Cawangan Pahang, yang akan dianjurkan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuhkan kerjasama kedua-dua pihak.

Melalui usaha ini semoga hubungan strategik antara UiTM Cawangan Pahang dan Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, sekali gus membuka peluang lebih besar untuk pelajar mengejar kecemerlangan akademik serta kemajuan dalam bidang kejuruteraan awam.

Penulis: Mohd Risham bin Jaafar & Zulhafizal bin Othman