BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA, 14 April 2025 – UiTM Cawangan Pahang terus komited dalam melahirkan pemimpin pelajar yang berwibawa melalui penganjuran Program Pengurusan Organisasi UiTM Cawangan Pahang yang bertemakan “Pemimpin Dinamik, Organisasi Cemerlang” pada 12 hingga 13 April 2025.
Program yang dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) ini melibatkan seramai 91 pelajar yang mewakili 38 kelab dan persatuan dalaman universiti.
“Program ini merupakan medan latihan strategik bagi barisan kepimpinan pelajar baharu dalam mendalami aspek tadbir urus organisasi, nilai integriti, serta kemahiran pengurusan yang menyeluruh,” kata wakil penganjur.
Pelbagai topik utama seperti pengurusan stres, organisasi dan kewangan, pengendalian aktiviti pelajar, perancangan strategik, Petunjuk Prestasi (PI) HEP, penulisan dan pengurusan media, serta personaliti pemimpin disampaikan melalui ceramah interaktif dan latihan dalam kumpulan (LDK).
Antara penceramah yang terlibat ialah En. Muhamad Naim Jamaludin, Dr. Nik Muhammad Farhan Hakim Nik Badrul Alam, Puan Wan Rozila Wan Abdullah, En. Mohd Ikhsan Md. Raus, dan En. Amar Sharuddin.
Para peserta menyifatkan program ini sebagai platform pendedahan sebenar dalam memikul tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar.
Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr. Haji Mohd Kamal Azman bin Jusoh.
“Program seperti ini merupakan langkah penting dalam menyokong aspirasi universiti ke arah pembangunan mahasiswa holistik dan berkepimpinan masa depan,” kata beliau.
Program ini memperkukuh peranan UiTM Cawangan Pahang dalam melahirkan pemimpin pelajar yang berketerampilan, beretika, dan bersedia menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Penulis Bersama : Dr. Haji Mohd Kamal Azman bin Jusoh, En. Amar Sharuddin