Majlis Iftar Perdana UCS: Memperkukuh Silaturrahim Dan Semangat Ihya Ramadan

Puncak Alam, 21 Mac 2025 – Majlis Iftar Perdana UiTM Cawangan Selangor telah berjaya dianjurkan bersempena majlis penutup Ihya Ramadan UCS 2025. Majlis anjuran Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Selangor (UCS) ini telah dimeriahkan dengan kehadiran 400 orang staf Kampus Puncak Alam, Kampus Sungai Buloh dan Kampus Puncak Perdana, serta jemputan wakil masjid dan komuniti Puncak Alam.

Majlis iftar dan solat Tarawih berjemaah diadakan bertujuan mengeratkan silaturrahim diantara warga UCS. UCS merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan strategik UCS, TRIplc Ventures Sdn. Bhd. atas sumbangan dalam menjayakan majlis ini.

Penganjuran majlis ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga UiTM untuk berbuka puasa bersama, malah turut menjadi platform dalam memperkukuhkan hubungan silaturrahim antara staf dan komuniti setempat. Suasana yang harmoni serta kehadiran jemputan dari warga UiTM iaitu staf dan pelajar mencerminkan nilai kebersamaan dan semangat kekitaan yang tinggi. Selain itu, majlis ini juga memperlihatkan komitmen UiTM dalam menyemarakkan aktiviti keagamaan dan memperkaya pengalaman Ramadan bagi warganya.

Inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai satu usaha dalam membina budaya kampus yang lebih harmoni dan inklusif. Dengan sokongan padu daripada pihak pengurusan, staf serta rakan strategik, program seperti Majlis Iftar Perdana bukan sahaja menghidupkan keberkatan Ramadan, malah memberi impak positif dalam mempererat hubungan dan perpaduan dalam kalangan warga UiTM.

Penulis: Noor Rashidah A. Rahman (UHEI), Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat

Editor: Nor Azyyati Md Saad