Puncak Alam, 21 Mac 2025 – Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Syawal UiTM Cawangan Selangor 2025 telah berjaya dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Selangor (UCS). Majlis menyaksikan perasmian penutup Ihya Ramadan UCS 2025 disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS.
UCS amat menghargai sokongan daripada rakan strategiknya, TRIplc Ventures Sdn. Bhd. atas sumbangan bagi Program Ihya Ramadan UCS sebanyak RM17,750. Sumbangan telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Taufik Afendy Othman, Pengarah Urusan TRIplc Ventures Sdn. Bhd.
UCS turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah menyumbang kotak agihan fidyah kepada 52 orang staf pentadbiran kampus, fakulti dan staf akademik UCS. Sumbangan dari MAIS telah disampaikan oleh YBrs. Prof Rektor, mewakili pihak pengurusan UCS yang juga menyediakan Bakul Syawal, sumbangan bersama TRIplc Ventures Sdn. Bhd.
Program ini bukan sekadar satu inisiatif kebajikan, tetapi juga mencerminkan semangat keprihatinan dan solidariti dalam kalangan warga UiTM serta rakan strategiknya. Sumbangan yang diberikan diharapkan dapat meringankan beban penerima dalam menyambut Syawal, selain menyemai nilai kesyukuran dan semangat berkongsi rezeki. Kehadiran dan sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi UiTM serta agensi luar menunjukkan komitmen bersama dalam memastikan kebajikan staf terus diberi perhatian, khususnya dalam menyambut bulan penuh keberkatan ini.
Penganjuran program sebegini juga selari dengan aspirasi UiTM untuk memperkukuh budaya prihatin dan inklusiviti dalam kalangan komuniti kampus. Dengan adanya kerjasama erat antara UiTM dan rakan strategik seperti TRIplc Ventures Sdn. Bhd. serta MAIS, inisiatif kebajikan dapat diperluaskan dan lebih ramai warga kampus berpeluang menerima manfaatnya. Diharapkan program seperti ini akan terus menjadi agenda tahunan, memperkukuhkan hubungan silaturrahim dan memastikan kesejahteraan sosial dalam kalangan warga UiTM.
Penulis: Noor Rashidah A. Rahman (UHEI), Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat
Editor: Nor Azyyati Md Saad