UiTM Perlis Agih 100 Pek Makanan Berbuka Puasa di Mata Ayer

ARAU, 24 Mac 2025 – Seramai 26 pensyarah daripada Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Cawangan Perlis, telah mengedarkan 100 pek makanan berbuka puasa kepada orang ramai di Caltex Guar Nangka, Mata Ayer, Perlis pada 20 Mac 2025.

Pek makanan yang mengandungi ayam goreng, air tin, donut, dan kurma itu diedarkan dari jam 3.30 petang hingga 4.30 petang.

“Program Kit Iftar ini merupakan kerjasama antara UiTM dan wakil industri dalam menyampaikan sedekah berbentuk pek makanan kepada orang ramai,” kata Puan Suhaida Dila Safian, Koordinator Program Kit Iftar.

Program julung kali ini mendapat sambutan baik daripada orang awam.

“Program ini meningkatkan visibiliti UiTM Cawangan Perlis dan pemain industri dalam merapatkan jurang sosial-ekonomi,” tambah Puan Suhaida.

 

Pek makanan turut diedarkan kepada warga bukan Muslim sebagai simbol keharmonian dan toleransi agama.

“Program ini boleh dianjurkan lagi pada masa akan datang untuk menyokong aspirasi UiTM dalam mendekati dan memajukan komuniti yang disasarkan,” kata Puan Suhaida.

Dr Dalina Samsudin, Penyelaras Strategik Dan Transformasi Universiti (PSTU), berkata program ini memberi nilai tambah dalam meningkatkan kemahiran insaniah dan profesionalisme pensyarah.

“Program ini meningkatkan kemahiran komunikasi, menyemai sifat empati, dan memupuk semangat berpasukan,” kata Dr Dalina.

Juadah berbuka puasa disumbangkan oleh Syarikat Kimiez Empire Sdn Bhd, KBS Incorporated Sdn Bhd, Pen Petroleum Sdn Bhd, dan Syarikat Faiza Sdn Bhd.