MERLIMAU, 20 Mac 2025 – Telah berlangsung Majlis Serahan Sumbangan bagi program Bakul Kasih Ramadan 1446H/ 2025 yang disempurnakan oleh Encik Mohd Ab Malek bin Md Shah, Koordinator Jabatan Undang – Undang (JUU), UiTM Cawangan Melaka yang melibatkan 10 orang murid Program Pendidikan Khas (Integrasi) selaku penerima sumbangan bertempat di SK Datuk Haji Baginda, Merlimau, Melaka.
Terdapat 3 sesi serahan sumbangan yang telah disempurnakan iaitu serahan Bakul Kasih Ramadan dan duit raya kepada 10 orang murid PPKI selaku penerima, serahan sumbangan peribadi 60 buah surah Yaasin dan terjemahan serta 6 buah buku puisi kepada pihak sekolah. Majlis turut diserikan lagi dengan sesi ucapan ringkas daripada Puan Jamaliah binti Abu Bakar, Guru Besar dan Encik Malek bagi pihak jabatan; bersama – sama dengan sesi sumbang saran berkaitan dengan cadangan program yang akan diadakan secara kolaborasi antara kedua – dua belah pihak kelak dan diakhiri dengan sesi serahan cenderahati.
Program ini merupakan anjuran kali kedua oleh JUU, UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama SK Datuk Haji Baginda, Merlimau, Melaka.
Program yang berbentuk khidmat masyarakat (Corporate Social Responsibility – CSR) ini bertujuan mewujudkan semangat saling berkongsi rezeki yang dinikmati menerusi sumbangan yang dihulurkan di samping memupuk sifat cakna antara satu sama lain; lebih – lebih dalam menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan; selain daripada persediaan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang kelak. Selain itu, program ini merupakan strategi pintar serampang dua mata ke arah memperkasakan jalinan kolaborasi antara pihak jabatan dan UiTM dengan komuniti setempat.
Kerjasama antara pihak UiTM Cawangan Melaka dan SK Datuk Haji Baginda, Merlimau, Melaka diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi kebaikan bersama.