KUCHING, 13 Mac 2025 – UiTM Cawangan Sarawak (UiTMCS) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar serta Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi di Bilik Menghadap Utama, Astana Negeri Sarawak.
Delegasi UiTMCS yang diketuai oleh Profesor Dr. Firdaus Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Sarawak bersama-sama Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa bin Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (HEA&), Profesor Madya Dr. Saimi bin Bujang, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Profesor Ir. Dr. Juferi bin Idris, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abdul Kadir, Penolong Rektor UiTM Kampus Samarahan 2, serta Encik Mohd Hasimi Abdullah Timbalan Pendaftar Kanan serta dua orang pegawai UiTMCS yang lain.
Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk memperkenalkan Rektor UiTM Cawangan Sarawak yang baharu. Pada masa yang sama kunjungan hormat berkenaan juga adalah untuk mengeratkan hubungan di antara UiTM Cawangan Sarawak dengan Astana Negeri Sarawak melalui jalinan kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak khususnya dalam konteks pengkongsian ilmu dan penyelidikan.
Semasa kunjungan ini Rektor telah menyampaikan maklumat ringkas mengenai UiTM Cawangan Sarawak dan rancangan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak khususnya dalam penyelidikan alga sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui serta agrikultur. Selain itu, Rektor telah mempersembahkan kertas cadangan kajian bertajuk The Governor’s Contributions to Higher Education and Research in Sarawak untuk dapat berkenan daripada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
UiTMCS juga telah mendapatkan nasihat dan cadangan daripada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk kajian tentang sejarah Sarawak dan kedatangan Islam ke Sarawak sebelum era penjajahan.
Sebelum mengakhiri kunjungan, TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi telah dijemput sebagai tetamu kehormat ke majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 UiTMCS yang akan dianjurkan pada bulan April nanti.
Penulis: Yaziz bin kasim & Mohammad bin Abang