Puncak Alam, 19 Mac 2025 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), serta Pemuda GEMA Malaysia telah berjaya menganjurkan Program MYSaveFood Ramadhan 2025. Program ini bertujuan menyelamatkan lebihan makanan yang tidak terjual oleh peniaga bazar dan menyalurkannya kepada golongan yang memerlukan.
Majlis dihadiri oleh YBrs. Tuan Mohd Zuhairi Mat Radey, Pengarah KPDN Selangor serta Encik Syazwan Che Zulkifli, Pengarah Projek Negeri Selangor MYSaveFood. Turut hadir adalah YBrs. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN, diiringi Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, bersama barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Selangor. Kehadiran pelbagai agensi dan individu menunjukkan komitmen bersama dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan serta membantu golongan yang memerlukan bantuan makanan sepanjang bulan Ramadan.
Usaha UiTM dalam menganjurkan program ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan institusi terhadap isu pembaziran makanan, tetapi juga memperlihatkan kesungguhan dalam menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dan kebersamaan dalam kalangan warganya. Inisiatif ini memberikan impak besar dalam menyebarkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
Program ini turut menjadi platform terbaik bagi mahasiswa UiTM untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan yang berasaskan nilai murni dan tanggungjawab sosial. Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang, sejajar dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan generasi mahasiswa yang cakna dan berjiwa prihatin.
Penulis: Dr Nur Azirah Zahida Mohamad Azhar, Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat
Editor: Nor Azyyati Md Saad