Alumni UiTM Kongsi Rezeki, Ceriakan Pelajar UiTM Kampus Dengkil

DENGKIL, 14 MAC 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Alumni meraikan pelajar asnaf dari Pusat Asasi, UiTM Kampus Dengkil di Majlis Jalinan Ukhuwah Ramadan anjuran bersama Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM dengan Pusat Asasi, UiTM Kampus Dengkil. Tujuan utama majlis adalah untuk mengeratkan ukhuwah serta silaturahim antara warga alumni dan UiTM.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah menyampaikan sumbangan duit raya kepada 80 orang pelajar sumbangan dari YBhg. Dato’ Ir Ts Dr. Hj. Abdul Manaf Hanafi yang merupakan presiden Persatuan Alumni Fakulti Kejuruteraan UiTM (EFAA) dan Pengarah Urusan Grand Teknik Bina Sdn.Bhd.

Menjelang sambutan Aidilfitri, para pelajar dari Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil turut menerima sumbangan sepasang baju raya daripada KHATAM Festive Apparel Sdn Bhd, syarikat milik alumni UiTM – Encik Saiful Azri Zulkifli bertempat di KHATAM IOI Conezion Putrajaya.

Sumbangan juadah berbuka puasa bagi majlis ini pula adalah daripada Encik Ahmad Fariz Hassan, yang merupakan alumni Fakulti Perakaunan UiTM dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPS Bhd.

Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan ini merupakan inisiatif Pusat Jaringan Alumni (ANC), ICAN yang menjadi perantara para alumni dengan warga UiTM bagi memastikan ukhwah terus terjalin dalam pelbagai bentuk kolaborasi, kerjasama dan kesepakatan. Dengan kekuatan alumni seramai 834,202 orang, berdasarkan data pada 4 Mac 2025, majlis ini telah membuktikan penglibatan alumni yang sangat penting dalam memupuk hubungan erat persefahaman dan silaturrahim antara alumni UiTM dan pihak universiti.

Selain dari meraikan pelajar Pusat Asasi UiTM bersempena bulan Ramadhan, majlis tersebut turut menjemput para alumni untuk mendaftar di MyAlumni UiTM bagi menikmati pelbagai tawaran menarik seperti ZUS Coffee dan CelcomDigi.

Sempena sambutan 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti pada 2024 , sejumlah 25 alumni Pusat Asasi telah disenaraikan dalam buku Wajah Alumni Citra Bitara UiTM turut dijemput untuk menerima surat penghargaan dari Timbalan Naib Canselor ICAN.