Kunjungan Mahabbah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi: Mengukuhkan Kebersamaan di UiTM Cawangan Selangor

Dengkil, 17 Mac 2025 – UiTM Cawangan Selangor berbesar hati menerima kunjungan YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, sempena Majlis Kunjungan Mahabbah bersama pengurusan dan mahasiswa Pusat Asasi Kampus Dengkil. Kunjungan mesra yang telah menyaksikan solat Isyak dan Tarawih berjemaah ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kepimpinan kementerian dan pihak pengurusan serta mahasiswa UiTM Cawangan Selangor dalam suasana penuh keberkatan.

Hadir menyantuni delegasi kunjungan adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, mewakili Naib Canselor, diiringi YBrs Profesor Ir. Dr Mohd Farid Abidin, Pengarah Pusat Asasi, bersama barisan pengurusan kampus. Majlis ini turut diserikan dengan sesi pemberian sumbangan Aidilfitri kepada 20 orang mahasiswa terpilih.

Pendekatan kementerian dalam mempererat hubungan dengan mahasiswa melalui program ini amat berkesan, mencerminkan keprihatinan dalam mengukuhkan jalinan erat antara mahasiswa dan pihak kementerian dan pengurusan universiti. Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada para pelajar, tetapi juga mencerminkan komitmen UiTM dalam menerapkan nilai kebersamaan dan kesejahteraan dalam komuniti akademiknya.

Penulis: Nor Azyyati Md Saad, Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat
Editor: Nor Azyyati Md Saad