Pengajaran Kolaboratif Microsoft Project Bantu Pelajar Ukur Bangunan UiTM Perak

Seri Iskandar, 24 Januari 2025 – Program Ukur Bangunan, UiTM Cawangan Perak, telah menganjurkan pengajaran secara kolaboratif perisian Microsoft Project bagi memenuhi keperluan kod kursus Contact and Project Management (BST304) pada 23 Januari 2025.

Sesi pengajaran yang berlangsung selama dua jam ini diadakan secara bersemuka di Dewan Kuliah Al-Khawarizmi melibatkan 100 orang pelajar tahun akhir Diploma Ukur Bangunan (AP119) dan para pensyarah bagi kod kursus tersebut.

Pengajaran ini bertujuan untuk membantu pelajar memahami penggunaan perisian Microsoft Project dalam pengurusan projek berkaitan bidang ukur bangunan. Penekanan secara interaksi aktif antara pelajar dan penceramah jemputan, Sr. Dr. Mohd Asrul Hassin,
pensyarah kanan dari Jabatan Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak membolehkan pelajar terlibat secara langsung dalam perbincangan dan menyelesaikan simulasi dengan menggunakan perisian Microsoft Project.

Aktiviti seumpama ini memberi peluang kepada pelajar untuk berkongsi idea, bertukar pandangan, dan mengasah kemahiran praktikal mereka. Komitmen pensyarah terhadap penganjuran sesi pembelajaran dan pengajaran seperti ini menunjukkan usaha berterusan
dalam menyediakan platform pembelajaran yang efektif, sekali gus meningkatkan kemahiran serta memberi nilai tambah kepada pelajar program Ukur Bangunan.

Penulis bersama : Nur Fadhilah Bahardin, Intan Bayani Zakaria, Zaimah Zainal Abidin, Annisha Nur Welliana Abd Rashid, Mohd Asrul Hassin.