UiTM Cawangan Pahang Anjur Bengkel Kemahiran Reka Grafik dan Aplikasi Kecerdasan Buatan Dalam Penghasilan Poster

Jengka, 10 Mac 2025 – Unit Komunikasi Korporat dengan kerjasama Unit Latihan, Bahagian Pentadbiran, UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan Bengkel Kemahiran Reka Grafik di Big Data Lab, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Bengkel ini melibatkan penyertaan 22 orang peserta dan 5 orang fasilitator yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Multimedia dari setiap fakulti, pusat pengajian, bahagian, dan unit di UiTM Cawangan Pahang.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Encik Mohd Ikhsan Md Raus, Pensyarah Kanan dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang yang memberi pendedahan mengenai penggunaan aplikasi Canva dalam menghasilkan poster yang menarik dan profesional.

Sesi pagi bengkel ini memberi fokus kepada teori serta teknik asas dalam menghasilkan reka grafik yang berkesan. Manakala, pada sesi petang, para peserta diberi peluang menjalani latihan secara hands on dengan menghasilkan poster sendiri menggunakan kemahiran yang telah dipelajari.

Peserta juga diberikan pendedahan tentang penggunaan kecerdasan buatan untuk membantu menghasilkan gambar dan poster yang menarik. Pengisian ini adalah selari dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak terutamanya dalam menyiapkan tugasan kerja.

Penganjuran bengkel ini diharap dapat meningkatkan kemahiran staf UiTM Cawangan Pahang dalam bidang reka grafik, seiring dengan tonggak transformasi UiTM 2025 untuk melahirkan staf terkemuka dunia dan meningkatkan ketampakan UiTM di peringkat antarabangsa.

Penulis:
Dr. Nik Muhammad Farhan Hakim Nik Badrul Alam

Damia Nurfarisya Mohd Risham

Jalcairul Azris Jalaluddin

Mohd Ikhsan Md Raus

Afiqah Bazlla Md Soom