APB UiTM Shah Alam Jayakan “Program Kolaborasi Road to Japan MEXT Workshop” Bersama Rakan Industri

SHAH ALAM, 8 Februari – Akademi Pengajian Bahasa (APB) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam berjaya menganjurkan Program Kolaborasi Road to Japan MEXT Workshop dengan sokongan daripada rakan strategiknya iaitu Fortis Arch Global PLT dan Alumni Look East Policy Society (ALEPS). Program ini yang dibiayai sepenuhnya oleh Fortis Arch Global PLT, bertujuan untuk memberikan panduan kepada individu yang berminat memohon Biasiswa MEXT bagi melanjutkan pelajaran ke Jepun.

Program ini dijalankan secara hybrid, melibatkan 21 peserta secara bersemuka di kampus UiTM Shah Alam, manakala sekitar 130 peserta lagi menghadirinya secara maya melalui pelantar Google Meet.

 

Penceramah yang diundang terdiri daripada wakil Kedutaan Jepun di Malaysia, Puan Noraini Ahmad Salim, yang memberi panduan tentang proses permohonan biasiswa, dan Puan Sachiko Sugiyama dari Okayama University Japan Educational Information Center (OJEIC) yang berkongsi pengalaman belajar di Jepun. Presiden ALEPS, Encik Isrami Ismail dan Pensyarah Kanan UiTM, Puan Noor Aizah Abas, turut menceritakan perjalanan mereka sebagai alumni Biasiswa MEXT. Sesi panduan mengisi borang dan tips temu duga dikendalikan oleh Encik Zamree Bakar, mantan Setiausaha Agung ALEPS dan Profesor Madya Dr. Sukreen Hana Herman dari UiTM.

Penglibatan APB dalam menganjurkan program ini menonjolkan usaha mereka dalam memperkukuh pendidikan bahasa Jepun di Malaysia. Selain itu, pengalaman yang diraih oleh pensyarah dan pelajar APB membantu meningkatkan kemahiran organisasi, kepimpinan dan komunikasi silang budaya.

 

Leave a Reply