UiTM Cawangan Selangor Perkukuh Kemudahan Mahasiswa di Kampus Sungai Buloh

Sungai Buloh, 6 Mac 2025 – Majlis Perasmian Dewan Bestari dan Dapur HEP, UiTM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya. Majlis ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan UiTM Cawangan Selangor untuk menyediakan prasarana yang lebih kondusif demi kesejahteraan mahasiswa.

Hadir meluangkan masa dan menyempurnakan perasmian adalah YBrs. Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam merealisasikan inisiatif ini. Kehadiran beliau dalam majlis ini mencerminkan komitmen kepimpinan universiti dalam memastikan kebajikan dan keperluan mahasiswa terus menjadi keutamaan.

Pengwujudan Dewan Bestari dan Dapur HEP bukan sahaja melambangkan komitmen UiTM Cawangan Selangor dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada mahasiswa, malah ia juga bakal menjadi pusat utama bagi pelbagai aktiviti akademik, kokurikulum, serta pembangunan sahsiah pelajar. Dewan Bestari dijangka berfungsi sebagai ruang yang serba guna untuk menganjurkan seminar, bengkel, dan program pembangunan diri yang dapat meningkatkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. Sementara itu, Dapur HEP pula bakal memberi manfaat besar kepada pelajar, bukan sahaja dalam aspek penyediaan makanan yang berkualiti dan berkhasiat, tetapi juga sebagai pusat interaksi sosial yang menggalakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kampus.

 

Penulis: Nor Azyyati Md Saad

Editor: Nor Azyyati Md Saad