UiTM Raub Erat Hubungan Mentor-Mentee Melalui Program Sukan Tradisional

Raub, 5 Mac 2025 – Kolej Pengajian Sains Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, telah berjaya menganjurkan program “Mentor-Mentee V2 KPPIM” pada hari Ahad, 12 Januari 2025. Program ini berlangsung selama 5 jam di kawasan sekitar UiTM Kampus Raub bermula dari 8.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk mempereratkan hubungan antara pensyarah (mentor/penasihat akademik) dan mahasiswa (mentee) daripada program Diploma Sains Komputer (CDCS110) dan Diploma Statistik (CDCS111) di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub. Program ini bukan sahaja bersifat kesukanan, tetapi juga dilengkapi dengan sesi taklimat yang menekankan teras utama ESI-iDART, ucapan serta amanat daripada pihak Ketua Pusat Pengajian (KPP) dan para pensyarah. Dua permainan untuk aktiviti berkumpulan bersama mentor dan mentee (pensyarah dan pelajar) yang berkonsepkan tradisional telah dijalankan iaitu galah panjang untuk siswi, manakala siswa bermain permainan bola beracun. Majlis diakhiri dengan pengumuman pemenang dan majlis penyampaian hadiah dan cenderamata. Melalui aktiviti-aktiviti yang diatur, program ini memberikan ruang kepada mentee untuk merehatkan minda mereka daripada tekanan akademik dan sekaligus memperkukuh kesediaan mental dan fizikal, serta semangat motivasi yang tinggi dalam persiapan menghadapi peperiksaan.

Secara keseluruhannya, Program MENTOR-MENTEE ini bukan hanya sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah, tetapi juga sebagai langkah yang bijak dalam membantu mentee mengatasi cabaran akademik dan meningkatkan prestasi mereka dalam suasana yang lebih menyenangkan dan penuh motivasi.

Penulis bersama: Noor Halimatus Sa’adiah Ismail, Mohd Azim Zainal, Nur Fatihah Haron