Kanak-Kanak Syria Hayati Budaya Malaysia Bersama UiTM Dengkil dalam Program ‘Cultural Bridge’

Dengkil, 3 Mac 2025 – Bagi memperkenalkan budaya tradisional Malaysia kepada kanak-kanak pelarian Syria, seramai 3 orang pensyarah dan 60 ahli Kelab Khidmat Masyarakat dari Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Dengkil telah menganjurkan program Cultural Bridge bagi memperkenalkan dan memberi pengalaman kepada kanak-kanak Syria mengenali dan merasai budaya tempatan.

Program ini telah diadakan di Studio Orkid di Pusat Asasi Kampus Dengkil pada  25 Januari 2025. Bagi memperkenalkan seni pertahanan, silat Melayu telah dipersembahkan kepada kanak-kanak Syria. Mereka juga telah diajar dengan asas gerakan dan teknik dalam silat. Simbolik terhadap kesenian ini adalah dapat memupuk nilai keberanian, displin dan pertahanan diri.

Manakala bagi sesi tarian tradisional Melayu, kanak-kanak telah diperkenalkan mengenai falsafah dan busana tarian. Selain itu, mereka telah diajar dengan langkah-langkah asas seni tarian diiringi dengan rentak muzik tradisional.

Aktiviti perkongsian budaya yang terakhir adalah permainan tradisional. Antara permainan yang dikongsikan bersama adalah batu seremban, permainan wawasan dan teng-teng. Permainan ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi dapat memberi mereka pengetahuan serta mempelajari budaya warisan Melayu di Malaysia.

Program Cultural Bridge bukan sekadar memberi pengetahuan dan hiburan kepada kanak-kanak Syria malah mereka dapat mendalami keunikan budaya di Malaysia serta dapat memupuk semangat perpaduan dan merapatkan hubungan antara dua negara disamping mempromosikan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.

Penulis bersama : Faiezah binti Abdullah, Sri Fitriaty binti Mohd Kenali, Rasyiqah binti Md Zolkapli dan Nurul Farhanah binti Abdul Hadi.