UiTM Cawangan Sarawak Jalin Kolaborasi Dengan Kerajaan Sarawak Bangunkan Industri Pelancongan

KUCHING, 19 Februari 2025 – Delegasi daripada UiTM Cawangan Sarawak (UiTMCS) yang diketuai oleh YBrs. Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Rektor UiTMCS telah mengunjung hormat ke atas Yang Berhormat Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) di pejabat rasminya di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, Kuching.

Bersama-sama dalam kunjungan hormat tersebut adalah Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohamad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Saimi Bujang, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Ir. Dr. Juferi Idris, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Dr. Wan Juliana Emeih Wahed, Penyelaras UiTM Global Sarawak (UGS) serta beberapa pegawai yang lain.

Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan sedia ada di antara kerajaan negeri Sarawak dengan UiTMCS melalui jalinan kerjasama strategik dalam konteks pemindahan ilmu, penyelidikan, pembangunan industri pelancongan dan industri kreatif, pembangunan belia dan sukan termasuk keusahawanan di Sarawak.

Beberapa perkara telah dibincangkan semasa pertemuan tersebut. Antara yang utama adalah perancangan untuk bekerjasama dalam penganjuran University Intercultural Exchange (UNITE25): “Mapping Sarawak to the World” yang akan diadakan pada 12 hingga 21 September 2025 di Kedutaan Besar Malaysia di Dublin, Ireland dan penganjuran Festival Tari Borneo Ke-9 pada bulan November 2025 yang mana UiTM Cawangan Sarawak menjadi tuan rumah untuk festival kali ini. Selain itu, UiTM Cawangan Sarawak juga akan menganjurkan beberapa program Edutourism yang akan melibatkan penyertaan pelajar IPT dari dalam negara dan antarabangsa.

Pihak kementerian menyambut baik hasrat UiTMCS untuk bekerjasama dan bersetuju untuk menyokong pelaksanaan program-program ini dalam usaha meningkatkan industri pelancongan Sarawak.

Penulis: Yaziz bin Kasim