Perkongsian Alumni UiTM Pulau Pinang dalam Program Collaborative Teaching bagi Memperkasa Pengetahuan Pelajar di Industri

PULAU PINANG, 10 JANUARI 2025 – Pengajian Kejuruteraan Mekanikal (PKM), UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah melaksanakan program Collaborative Teaching dengan melibatkan alumni sebagai tenaga pengajar jemputan untuk kursus Finite Element Analysis (FEA). Program ini bertujuan memberikan pendedahan aplikasi industri sebenar kepada pelajar.

Inisiatif ini melibatkan En. Muhammad Aiman, alumni PKM UiTMCPP yang kini bekerja di Daikin Research and Development Malaysia. Beliau berkongsi kepakaran dalam FEA, termasuk kaedah penyelesaian masalah menggunakan perisian terkini Altair Hyperworks. Program ini memberikan pengalaman langsung kepada pelajar, membantu mereka lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Pelajar program Bachelor of Manufacturing Engineering Technology with Honours yang terlibat dalam sesi pembelajaran ini menyatakan bahawa pendekatan Collaborative Teaching memberi perspektif baharu dalam memahami bagaimana teori diaplikasikan dalam projek industri. Program ini merupakan usaha UiTM untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menghubungkan mereka secara langsung kepada pakar industri. Pihak fakulti berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke kursus lain.