Webinar Live: Memahami Impak Penyakit Kardiovaskular Terhadap Kualiti Hidup Melalui Pengajaran Kolaboratif

JENGKA, 26 Februari 2025 – Program Live Webinar: Understanding the Impact of Cardiovascular Diseases on Quality of Life via Collaborative Teaching telah berjaya dianjurkan oleh Jawatankuasa Collaborative Teaching BIO560, yang terdiri daripada gabungan pensyarah Resource Person (RP) daripada UiTM Shah Alam dan para Lecturer In Charge (LIC) daripada kampus UiTM Jengka, Pahang, UiTM Kuala Pilah, Negeri Sembilan, UiTM Kota Kinabalu, Sabah dan UiTM Arau, Perlis pada 7 Januari 2025.

Penyakit kardiovaskular merupakan antara punca utama kematian di Malaysia, dan kajian juga telah menunjukkan semakin ramai golongan muda yang berisiko tinggi menghidap penyakit ini kesan dari gaya hidup yang tidak sihat. Sehubungan dengan itu, webinar ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta berkenaan punca dan faktor yang menyumbang kepada berlakunya penyakit kardiovaskular dan kesannya terhadap kualiti hidup. Program ini juga turut membantu mencapai matlamat beberapa SDG, antaranya SDG 3 (Good Health and Well-Being), melalui penekanan kepada kepentingan kualiti hidup yang baik bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat, SDG 4 (Quality Education), kebersamaan dalam kualiti pembelajaran dan pendidikan, serta SDG 17 (Partnerships for the Goals) dengan membina hubungan kerjasama universiti bersama pihak industri.

Program yang bermula pada pukul 8.00 sehingga 10.00 pagi ini telah dihadiri seramai 150 orang pelajar daripada Fakulti Sains Gunaan yang mengambil subjek Fisiologi Haiwan (BIO560). Program yang dikendalikan oleh moderator, Puan Sarah Syazwani Zakaria, bersama panel jemputan iaitu LTM (Dr) Muhammad Nurfaizeen bin Mohd Zalazilah, Pegawai Perubatan (MD)/Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) telah berjaya mengupas pelbagai topik menarik berkait dengan punca dan risiko penyakit kardiovaskular serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi dan mengurangkan risiko penyakit ini. Pelbagai input penting dan menarik telah dikongsikan oleh panel jemputan melalui sesi diskusi dan juga sesi soal jawab bersama peserta webinar.

Maklumbalas positif yang telah diberikan oleh para peserta melalui penilaian keberhasilan program telah menunjukkan bahawa program ini telah berjaya memberi kesedaran kepada peserta tentang kepentingan kualiti hidup yang baik serta langkah pencegahan penyakit kardiovaskular. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Fakulti Sains Gunaan, UiTM dan UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka atas sokongan yang diberikan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program ini. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Penulis bersama: Nurdiana Shamsulrizal, Sarah Syazwani Zakaria, Ajimi Jawan & Nur Syafiqah Rahim