Meraikan Kejayaan Pelajar Semester Akhir dengan Pre-Graduation Night di UiTM Pahang

Jengka, 25 Februari 2025: Persatuan Pelajar Diploma Sains (PERDIPSA), UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menganjurkan Program Pre-Graduation Night pada 31 Disember 2024 dengan tema “Movie Character”. Program ini berlangsung secara bersemuka di Dewan Indera Segara, UiTM Pahang Kampus Jengka, dan berjaya menarik penyertaan seramai 400 peserta. Antara yang hadir adalah mahasiswa dan mahasiswi semester akhir programa Diploma Sains (AS120), pensyarah Pusat Pengajian Sains, serta ahli keluarga pensyarah yang turut memeriahkan acara.

Program ini bertujuan untuk meraikan pelajar semester akhir yang bakal menamatkan pengajian mereka, selain merapatkan silaturahim antara pelajar dan pensyarah. Dalam suasana penuh kemeriahan, program ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mencipta kenangan manis sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan akademik dan profesional mereka.

Dengan tema “Movie Character”, para pelajar menunjukkan kreativiti dan semangat mereka melalui pemakaian kostum yang diinspirasikan daripada pelbagai watak filem dan drama popular. Hal ini menunjukkan kreativiti dan semangat para pelajar untuk menghadiri program Pre-Graduation Night ini.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, dengan menyediakan platform yang memperkukuhkan keterlibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang membina kemahiran insaniah, seperti kepimpinan, komunikasi, dan kerja berpasukan. Selain itu, program ini juga selari dengan SDG 16: Keamanan, Keadilan, dan Institusi Kukuh, kerana ia mendorong semangat perpaduan serta membina hubungan harmoni antara warga akademik.

Secara keseluruhannya, Program Pre-Graduation Night PERDIPSA telah mencapai objektifnya dalam meraikan kejayaan pelajar semester akhir dan mengukuhkan jalinan hubungan dalam komuniti akademik UiTM Pahang Kampus Jengka. Semoga program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang.