UiTM Cawangan Selangor Perkukuh Kerjasama ke Mesyuarat Lembaga Tadbir Masjid Puncak Alam

Puncak Alam, 22 Februari 2025 – UiTM Cawangan Selangor berbesar hati menerima jemputan bagi Mesyuarat Lembaga Tadbir Masjid Puncak Alam. Hadir mewakili Rektor adalah YBrs. ⁠ ⁠Profesor Dr Mohd Hafiz Mohd Hanafiah, Timbalan Rektor Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE). Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Rozali, Pengerusi Masjid Puncak Alam (MPA), merangkap Pengerusi Lembaga Tadbir MPA.

Mesyuarat ini telah membincangkan beberapa cadangan penting termasuk menjadikan Surau Ibnu Sina sebagai sebahagian daripada Lembaga Tadbir MPA. Selain itu, UiTM turut mengemukakan cadangan kerjasama strategik dengan MPA dalam dua aspek utama iaitu memperkasakan program sukarelawan melalui Rakan Masjid serta menyediakan ruang niaga bagi komuniti setempat bagi menyokong pembangunan ekonomi masyarakat sekitar. Cadangan-cadangan ini mendapat sokongan penuh daripada YBhg. Tan Sri Rozali, yang turut menyatakan hasrat untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dalam masa terdekat.

Penglibatan pihak pengurusan UiTM Cawangan Selangor membuktikan kesungguhan dan komitmen UCS dalam usaha menjalinkan kerjasama dengan MPA, serta menyokong inisiatif keagamaan dan sosial yang dapat memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan masyarakat setempat. Semoga hasil perbincangan yang telah diadakan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam memperkasa pembangunan sahsiah dan kesejahteraan komuniti, dan kerjasama ini berterusan, sekaligus membuahkan hasil yang positif demi kesejahteraan bersama.

#UCSCemerlang

Penulis: Nor Azyyati Md Saad, Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat UCS
Editor: Nor Azyyati Md Saad