JENGKA, 5 Januari 2025 – Program akademik bertajuk “The Harsh Reality Of An Event: An Academic Discourse” telah diadakan di Dewan Serbaguna Kolej Tun Teja, UiTM Cawangan Pahang, melibatkan 50 pelajar dari program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Teknologi Perniagaan (BA262). Program ini, yang memenuhi keperluan kursus Pengurusan Acara dan Amalan (EVM490), juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, Pendidikan Berkualiti.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Encik Mohd Azizul bin Sulaiman, Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi UiTM Pahang, dimulakan dengan perkongsian mengenai trend terkini dalam bidang Pengurusan Acara di Malaysia oleh penceramah jemputan, Encik Muhamad Alif Hurairah bin Noor Haladdin, Pegawai Operasi dan Pemasaran FA Worldwide Group (M) Pte Ltd, yang juga alumni UiTM Pahang.
Sesi wacana akademik yang dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Haziq Azri Nazri berlangsung selama hampir dua jam dan membincangkan realiti sebenar pengurusan acara antarabangsa. Para peserta turut diberi peluang untuk melaksanakan aktiviti berkumpulan berdasarkan situasi pengurusan acara sebenar.
Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara fakulti dan alumni, tetapi turut memberi peluang kepada pelajar untuk membina jaringan dengan pihak industri. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan untuk memberi manfaat kepada para pelajar dalam mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan.
Penulis bersama:
Hazlin Hasan (Penulis utama), Muhammad Hafiz Suhaimi, Siti Munirah Ismail