ORBID UiTM Pahang Anjurkan Forum Kebolehpasaran Graduan Biodiversiti untuk Pelajar dan Alumni

JENGKA, 3 Januari 2025 – Organization of Biodiversity Club (ORBID) di bawah Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah menganjurkan “Forum Kebolehpasaran Graduan Biodiversiti; Isu dan Perspektif” secara maya, melibatkan 117 peserta, termasuk pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Biodiversiti (AS255), serta pensyarah dari kampus tersebut. Program ini bertujuan untuk membincangkan cabaran terkini graduan biodiversiti, kepentingan peningkatan kemahiran, serta strategi yang dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Forum menampilkan dua panel industri iaitu Puan Siti Noralina Binti Abu Kasim, Pegawai Pemuliharaan Haiwan di Sunway Lagoon Wildlife Park, dan Puan Jennifer David, Spesialis Produk di VJ Engineering Sdn. Bhd., serta dua alumni program yang kini berkhidmat di Johor Port Berhad dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Cik Nur Qistina Binti Faithal Reiman dan Cik Nurul Izzah Binti Zubairi.

Forum yang berlangsung selama tiga jam itu meliputi beberapa topik penting, antaranya ciri-ciri graduan yang dicari oleh industri, cabaran yang dihadapi graduan, dan kepentingan jaringan profesional dalam meningkatkan kebolehpasaran. Sesi soal jawab juga diselitkan bagi memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi langsung dengan panel.

Maklumbalas positif yang diterima menunjukkan forum ini berjaya memberikan pendedahan berguna kepada peserta mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian. Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa depan untuk mempersiapkan pelajar lebih siap dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan.