Seri Iskandar, 12 Februari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah menerima lawatan rasmi dari delegasi Universitas Tridinanti (UNANTI), Palembang, Indonesia, bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 Disember 2024. Ini adalah inisiatif timbal balik selepas kejayaan UiTM Cawangan Perak, yang diterajui oleh dua pensyarah Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Gs. Dr. Norhazlan Haron dan Gs. Noor Syarafina Sallehudin, dalam menjalankan siri Bengkel Rekabentuk Bandar di Universitas Tridinanti pada tahun 2018 dan 2019.
Delegasi yang hadir dalam lawatan ini terdiri daripada Rektor Universitas Tridinanti, Prof. Dr. Ir. H. Edizal AE, Direktur Magister Manajemen, Dr. Djatmiko Noviantoro, Ketua Jabatan Magister Manajemen, Dr. Sari Sakarina, dan seorang pensyarah senibina, Ibu Tri Woro Setiati.
Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Ibnu Firnas, UiTM Cawangan Perak, dan telah disempurnakan oleh yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, serta Rektor Universitas Tridinanti, Prof. Dr. Ir. H. Edizal AE, M.S.
Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua universiti akan memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk peningkatan aktiviti penyelidikan, pendedahan pengetahuan teknikal dan inovasi, serta kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Program bersama seperti projek penyelidikan, inovasi, program mobiliti antarabangsa, serta pertukaran dan pemindahan ilmu pengetahuan diharapkan dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, meningkatkan reputasi universiti, memperkasa kualiti staf akademik, dan melahirkan graduan yang berkualiti tinggi, berpengetahuan global, dan kompeten.
Penulis – Dr. Syazwani binti Ahmad
Penulis Bersama – Gs. Dr. Norhazlan Haron, TPr. Hjh Maimon Hj Ali, Ts. Gs. Mohamad Sofiyuddin Sanusi