Majlis Penyerahan Insentif dan Peluncuran Laporan Impak Kolej-Kolej Bersekutu UiTM Di Shah Alam

SHAH ALAM, 10 FEBRUARI 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Insentif dan Peluncuran Laporan Impak Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) UiTM di DoubleTree by Hilton, Shah Alam i-City, hari ini. Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc.

Program ini diadakan bagi menghargai sumbangan dan pencapaian Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) UiTM dalam menjayakan Program Usahasama UiTM yang diperkenalkan sejak tahun 1992. Sehingga kini, sebanyak 11 KKB yang masih aktif menawarkan 15 program akademik di seluruh negara, memberikan peluang pendidikan kepada pelajar Bumiputera yang berkelayakan tetapi tidak mendapat tempat di Universiti Awam (UA).

Menurut YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, “Program Usahasama UiTM yang dilaksanakan melalui KKB telah memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada golongan Bumiputera, terutamanya dari kelompok B40. Ia membuktikan komitmen UiTM dalam melahirkan modal insan yang kompeten dan berdaya saing dalam pelbagai bidang.”

Dalam majlis ini, insentif penghargaan telah disampaikan kepada KKB UiTM sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program-program akademik. Selain itu, turut dilancarkan Laporan Impak Kolej-Kolej Bersekutu UiTM, yang mengandungi kisah-kisah kejayaan pelajar serta impak positif program usahasama ini dalam membantu graduan mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan bidang pengajian mereka.

Antara Kolej-Kolej Bersekutu yang terlibat dalam majlis ini adalah Institut Sains & Teknologi Darul Takzim (INSTEDT), Melaka International College of Science & Technology (MiCost), East West International College, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Kolej UNITI, Kolej Antarabangsa Unifield, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Kolej Yayasan Pahang, Kolej Widad, Kolej SATT, dan Kolej FELCRA.

Majlis ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada pihak KKB UiTM, tetapi juga menjadi platform bagi memperkukuh kerjasama strategik antara UiTM dan KKB dalam memperkasa pendidikan tinggi Bumiputera. UiTM akan terus komited dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan memperluaskan akses kepada lebih ramai pelajar, khususnya dari golongan kurang berkemampuan.