Kunjungan Hormat Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Terengganu Sesi 2024/2025 ke Perpustakaan Cendekiawan UiTM Bukit Besi

Bukit Besi, 20 Disember 2024 – Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi telah menerima kunjungan hormat barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Terengganu sesi 2024/2025. Kunjungan yang pada awalnya bermula jam 9.00 pagi didahului dengan sesi kunjungan hormat MPP bersama Pengurusan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi.

Kunjungan singkat yang diketuai oleh Yang Dipertua, saudari Farah Fatwa Ali Asharaf membawa bersama 7 orang lagi Exconya. 3 daripada barisan Exco MPP yang baru dilantik merupakan pelajar UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Mekanikal.

Objektif kunjungan hormat ini diadakan adalah bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama serta komunikasi antara MPP dan pihak pengurusan UiTM Cawangan Terengganu, di samping memperkenalkan barisan pimpinan baharu perwakilan tersebut. Kunjungan ini juga sebenarnya menjadi platform pengurusan khususnya kepada Unit Perpustakaan dalam menyampaikan informasi dan hasrat perpustakaan kepada wakil pelajar untuk disampaikan kepada rakan pelajar yang lain.

Penemuan singkat  dan perbincangan dua hala ini juga sebenarnya turut menyentuh tentang ketampakan MPP sebagai wakil pelajar dari segi sahsiah rupa diri dan imej mereka kepada pelajar lain di samping peranan utamanya menjadi suara pelajar dalam menyampaikan sesuatu isu menjadi topik utama dalam kunjungan tersebut. Berlatarbelakangkan sudut EKSA sebagai lokasi pertemuan, kunjungan hormat itu diakhiri dengan penyerahan poster MPP oleh Yang Dipertua kepada Ketua Unit Perpustakaan dan sesi bergambar.

Penulis: Mohd Shahnizam Mat Zain, Pustakawan Kanan