BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA, 2 Januari 2025 – Seramai 16 pelajar Kolej Mat Kilau telah dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) sesi 2024/2025. Pemilihan ini dibuat setelah 26 calon menjalani sesi temuduga yang ketat.
Panel pemilihan yang terdiri daripada wakil pengurusan kolej dan ahli JPK terdahulu menilai calon dari segi kemahiran kepimpinan, komunikasi, visi, dan komitmen terhadap kebajikan komuniti kolej.
“Proses pemilihan ini bukan sahaja mencerminkan kemampuan calon-calon yang terlibat, tetapi juga merupakan hasil usaha keras dan komitmen mereka dalam memperjuangkan aspirasi dan kebajikan penghuni kolej Mat Kilau,” kata wakil pengurusan kolej.
Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar (URHP) Kolej Mat Kilau berharap kepimpinan baharu ini dapat mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni dan inklusif.
JPK yang baharu dijangka akan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti program kebajikan, aktiviti sosial, dan peluang pembangunan diri bagi memberi manfaat kepada penghuni kolej.