BUKIT BESI, 16 Januari 2025 – Fakulti Sains Gunaan (FSG) Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu, Kampus Bukit Besi (UiTMCTBB) telah berjaya menganjurkan Taklimat Perubahan Perundangan Berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 2022) secara dalam talian melalui platform WEBEX. Taklimat yang berlangsung dari jam 10:30 pagi hingga 12:30 tengah hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam kalangan staf UiTM.
Taklimat ini menampilkan Wan Ahmad Jazila Wan Hassan, Penolong Pengarah, Bahagian Dasar dan Penyelidikan Antarabangsa, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Putrajaya, sebagai panel utama. Beliau memberikan penerangan mendalam mengenai perubahan yang dibawa oleh OSHA 2022 serta implikasi yang perlu diberi perhatian oleh pihak industri, perniagaan, dan institusi pendidikan.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam taklimat ini termasuk pengenalan perubahan utama dalam OSHA 2022, termasuk pindaan perundangan yang relevan, implikasi terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja, serta penyesuaian kurikulum pendidikan bagi memastikan pelajar dilengkapi dengan pengetahuan terkini berkaitan keselamatan pekerjaan. Selain sesi pembentangan, peserta juga berpeluang mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan terus daripada panel. Antara isu yang dibangkitkan termasuk pengurusan risiko keselamatan di tempat kerja, keperluan pelaporan insiden, serta pelaksanaan amalan terbaik dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
UiTM Cawangan Terengganu mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Diharapkan taklimat ini dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam memastikan kepatuhan terhadap perundangan semasa.
Penulis : ADIDA MUHAMMUD, NURUL HUDA KAMARULZAMAN, NORTHAQIFAH HASNA MOHAMED KHIR