Aktiviti Seni Mural dan Lukisan Kanvas Meriahkan PPKI SMK Saujana Utama

SUNGAI BULOH, Selangor, 16 Januari 2025 – Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam telah menghasilkan mural berwarna-warni di bangunan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama.

Program kolaboratif ini melibatkan 39 pelajar semester pertama Pengajian Senibina UiTM, 13 pensyarah KAB, 20 pelajar PPKI, dan 20 guru PPKI. Seni mural yang dihasilkan mencerminkan nilai inklusiviti, keterangkuman, dan kreativiti, serta mencipta suasana yang lebih ceria untuk pelajar berkeperluan khas.

Selain aktiviti mural, bengkel melukis kanvas 3D turut diadakan, memberikan peluang kepada pelajar PPKI mempelajari teknik asas melukis daripada pelajar dan pensyarah UiTM. Para guru PPKI turut menerima bimbingan khas untuk menghasilkan lukisan kanvas.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Azidah binti Abdullah, memuji usaha kolaborasi ini. “Kerjasama antara UiTM dan PPKI SMK Saujana Utama memberi impak besar kepada pelajar dan guru,” katanya.

Ketua Pusat Pengajian Senibina UiTM, Dr. Hailane Salam, menegaskan program ini memberi pengalaman bermakna kepada pelajar UiTM dalam konteks komuniti dan meningkatkan kesedaran terhadap keperluan khas.

Karya pelajar PPKI dijangka dipamerkan pada Palam Bina Festival di UiTM pada 20 dan 21 Februari 2025, menonjolkan kreativiti dan bakat mereka. Program ini merupakan langkah awal ke arah kerjasama jangka panjang untuk memperkasakan pelajar PPKI melalui seni.