
RAUB, 8 Jan. 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub telah mengadakan sesi pengajaran kolaboratif yang memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai dunia sebenar pelaburan melalui program khas subjek Investment Management (FIN358).
Sesi bertajuk “Technical vs Fundamental Analysis – How to Use Both” telah disampaikan oleh Encik Azizi bin Mohd Tamiji, seorang alumni UiTM dengan pengalaman lebih 14 tahun dalam bidang pelaburan. Program ini dijalankan secara maya melalui platform Google Meet dengan penyertaan lebih 580 pelajar dan empat pensyarah.
Objektif utama program adalah memperkasakan pemahaman pelajar mengenai dua pendekatan utama dalam analisis pelaburan – analisis teknikal dan fundamental. Sesi interaktif ini tidak sekadar memberikan penerangan teori, malah turut membincangkan contoh praktikal yang berkaitan dengan perkembangan semasa pasaran saham.
Menurut salah seorang peserta, program tersebut memberikan pengalaman yang amat berharga. “Sesi ini membantu kami melihat bagaimana analisis pelaburan digunakan dalam industri sebenar. Ia sangat membuka mata dan memberi motivasi kepada kami untuk lebih mendalami bidang ini,” ujar seorang pelajar.
Pihak universiti menekankan bahawa penyertaan profesional industri dalam sesi pengajaran memberikan impak signifikan kepada pelajar. Ia membolehkan mahasiswa tidak sahaja mengasah kemahiran analisis numerikal, malah memahami aplikasi praktikal teori pelaburan dalam dunia pekerjaan.
Kolaborasi ini menggambarkan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik dan bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja yang kompetitif. Pihak universiti berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke bidang lain bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan industri.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UiTM untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan mereka kekal relevan dalam persekitaran pekerjaan yang sentiasa berubah.
Penulis: Wan Nurashikin Mahmood, Siti Syamira Mohd Ramli, Nurul Izzat Kamaruddin, Nadzatul Atilia Mahadi