UiTM Cawangan Pahang Rapatkan Jurang Inklusiviti OKU Melalui Sukan

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA, 14 Disember 2024 – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat/ Jawatankuasa Penasihat OKU Daerah Maran dan Maxis Berhad menganjurkan program “Sport Outreach: Merapatkan Jurang Inklusiviti Melalui Sukan Untuk Individu Kelainan Upaya”. Inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) ini bertujuan menyokong komuniti orang kurang upaya (OKU) melalui aktiviti sukan.

Program yang berlangsung di Dewan Indera Segara dan Kompleks Sukan, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka, melibatkan 32 pelajar dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Pusat Jengka berusia 13-18 tahun, bersama 4 guru pengiring serta pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan sebagai fasilitator.

Program dirasmikan oleh Encik Mohd Ariffin Haji Abd Rahman (Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran) dan dimulakan dengan forum bertajuk “Merapatkan jurang inklusiviti OKU: Peranan Sekolah, Komuniti dan Kesihatan”. Forum ini menampilkan Encik Tun Mansor Tun Tahir (Pegawai Pendidikan Daerah Maran-Pembangunan Bakat Murid), Dr. Saniah Senik (Klinik Kesihatan Maran), dan Prof. Madya Dr. Norhapizah Mohd Burhan (Akademi Pengajian Islam Kontemporari UCPh). Sesi diteruskan dengan senamrobik dan aktiviti sukan seperti blind soccer, bola tampar duduk, boccia, sukaneka, dan pertandingan mewarna. Sesi penutupan program disempurnakan dengan pembahagian hadiah oleh Dr. Norlaila Azura Kosni (Ketua Pusat Pengajian FSR UCPh).

Program ini menerapkan nilai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti pendidikan berkualiti (SDG 4), mengurangkan ketidaksamaan (SDG 10), dan perkongsian untuk mencapai matlamat (SDG 17). Secara keseluruhannya, program ini berjaya memupuk silaturahim antara pelajar UiTM dan pelajar OKU serta meningkatkan kesedaran tentang peranan setiap pihak dalam mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif.

Penulis Utama: Siti Aishah Abd Rahman dan Dr. Nurul Diyana Sanuddin