UiTM Jengka Pupuk Semangat Patriotisme dalam Kalangan Mahasiswa Baharu Menerusi Modul ABATA

Bandar Tun Abdul Razak Jengka, 12 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka telah berjaya menganjurkan satu program khas, Modul ABATA, yang dihadiri oleh 894 mahasiswa semester pertama dari pelbagai peringkat diplom dan ijazah sarjana muda.

Program ini bertujuan untuk memupuk nilai keagamaan, semangat patriotisme, serta kebanggaan terhadap bangsa dan tanah air dalam kalangan mahasiswa baru. Modul ABATA dilaksanakan melalui forum interaktif dengan melibatkan dua panel jemputan berpengalaman, iaitu Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin, Pengarah Sekretariat Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN), dan Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Pahang.

Dalam forum tersebut, mahasiswa diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan panel mengenai isu-isu berkaitan jati diri, kepimpinan, dan peranan generasi muda dalam pembangunan negara. Di samping itu, beberapa aktiviti lain diadakan, termasuk Sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang membenarkan mahasiswa berkongsi pandangan mengenai topik kepimpinan dan perpaduan bangsa.

Program ini juga melibatkan sesi refleksi diri di mana peserta diminta untuk menulis aspirasi dan matlamat peribadi mereka sebagai mahasiswa yang bertanggungjawab terhadap agama, bangsa, dan negara. Selain itu, aktiviti Simulasi Kepimpinan juga dilaksanakan bagi menguji kebolehan mahasiswa membuat keputusan secara beretika dan bijaksana.

Pelaksanaan Modul ABATA memberi impak yang besar kepada mahasiswa, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan agama dan perpaduan, serta membantu mereka berfikir secara kritis tentang isu-isu semasa. Ini juga menanam nilai integriti, ketakwaan, dan patriotisme sebagai persediaan untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti.

UiTM Cawangan Pahang terus komited dalam membentuk mahasiswa yang holistik, berdaya saing, dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Dengan kejayaan program ini, diharapkan mahasiswa UiTM akan terus menghayati nilai-nilai yang diterapkan dan menjadi agen perubahan yang positif dalam masyarakat.