Dengkil, 24 Januari 2025 – YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah berkunjung ke Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil sempena sesi Lawatan Mesra. Kunjungan YAB Perdana Menteri telah disambut meriah oleh lebih 2000 orang kakitangan dan pelajar Pusat Asasi, bersama barisan pengurusan kanan UiTM.
Turut mengiringi sesi lawatan adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Lawatan Mesra ini telah menyaksikan YAB Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1500 orang Jemaah yang terdiri daripada warga UiTM dan masyarakat dari sekitar Dengkil.
YAB Perdana Menteri mengambil kesempatan ini untuk bertemu dan berinteraksi dengan pelajar serta kakitangan. Sesi Lawatan Mesra ini melambangkan komitmen kerajaan dalam menyokong institusi pendidikan tinggi dan memupuk hubungan lebih erat antara pemimpin negara dengan warga universiti. Kehadiran YAB Perdana Menteri bukan sahaja menyuntik semangat kepada warga UiTM tetapi turut memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mendukung aspirasi pendidikan negara.