50 Pelajar UiTM Sabah Sertai Program SULAM di Kampung Tambatuon

KOTA BELUD, 20 Januari 2025 – Seramai 50 pelajar Program HM241 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Cawangan Sabah, baru-baru ini menyertai lawatan akademik dan aktiviti SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) selama dua hari satu malam di Kampung Tambatuon. Program yang berlangsung dari 14 hingga 15 Disember 2025 ini merupakan sebahagian daripada keperluan silibus kursus HTT680 – Sustainable Tourism Management.

Lawatan ini membolehkan pelajar memahami pelancongan lestari dan mengaplikasikan teori yang dipelajari ke dalam situasi sebenar, selain menjalankan aktiviti SULAM. Lawatan ini diiringi oleh Dr. Boyd Sun Fatt dan En. Alvin Gatu, manakala pelajar Nurul Manissa Binti Rosli mengetuai penganjuran aktiviti.

Pada hari pertama, Ketua Kampung Tambatuon, En. Kosimin bin Sulidan, memberi taklimat tentang sejarah kampung, pelancongan berasaskan komuniti, infrastruktur, penglibatan dalam eko-pelancongan, dan aktiviti pelancongan yang ditawarkan. Petang itu, pelajar menjalankan aktiviti SULAM, berkongsi ilmu pelancongan lestari dan penggunaan media sosial serta pembayaran tanpa sentuh dengan penduduk kampung. Lawatan bersama komuniti turut dijalankan untuk memahami budaya tempatan.

Hari kedua bermula dengan senaman pagi dan gotong-royong bersama penduduk kampung. Sesi ‘Misi Akademik – Selangkah ke UiTM’ turut diadakan, berkongsi maklumat tentang peluang melanjutkan pelajaran di UiTM Cawangan Sabah.

Lawatan ini mendedahkan pelajar kepada pengurusan pelancongan lestari dan pelancongan berasaskan komuniti, sambil memupuk hubungan erat antara institusi pendidikan dan komuniti setempat. Program ini sejajar dengan visi UiTM melahirkan graduan cemerlang dan prihatin terhadap pembangunan lestari.

Disediakan oleh: Boyd SF