Career Kickstart Fair 2025, Lahirkan Graduan Berdaya Saing Anjuran UiTM Perlis

ARAU, 17 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melancarkan Program Career Kickstart Fair 1.0 @ UiTM Perlis (CKFair 2025) di Kompleks Star UiTM Cawangan Perlis, membuka peluang kepada mahasiswa dan graduan untuk menerokai laluan kerjaya.

Program dua hari ini dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, dengan sokongan pelbagai fakulti termasuk Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, serta Unit Kerjaya dan Kaunseling.

Sebanyak tujuh syarikat utama seperti Gen X Multi Resources Sdn Bhd dan Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC) turut menaja program bertemakan “From Passion to Profession” ini.

Pameran kerjaya telah disertai oleh lebih 20 syarikat swasta dan agensi kerajaan, termasuk Telekom Malaysia, Sunway Group, PERKESO, dan Kementerian Belia dan Sukan, memberikan pendedahan komprehensif tentang peluang pekerjaan kepada mahasiswa.

Program ini berjaya mengumpulkan Alumni terkenal seperti pempengaruh Sharifah Syafeenaz Syed Azmir dan Muhammad Zhafir Samsul Kamal, turut dihadiri peserta dari UiTM Pulau Pinang dan Universiti Malaysia Perlis.

Objektif utama CKFair 2025 adalah membantu mahasiswa mengenal pasti spesifikasi pekerjaan, suasana organisasi, dan mempersiapkan diri menghadapi cabaran kerjaya selepas graduasi.