TELUK SENANGIN, 18 Nov – Seramai 69 peserta dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak berjaya mengumpul 186.3 kilogram sampah sepanjang 600 meter di Pantai Teluk Senangin dalam Program Innovation Beach Clean Up Day.
Program yang dianjurkan sempena Bulan Inovasi dan Kualiti 2024 ini berjaya mengumpul 70.2 kilogram bahan boleh dikitar semula daripada enam zon yang telah ditetapkan.
Timbalan Pendaftar Kanan UiTM Cawangan Perak, Puan Jona Hidayati Qamaruz Zaman, berkata program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pencemaran pantai dan melindungi ekosistem laut.
“Program seperti ini mendidik dan mencerminkan tanggungjawab bersama dalam melestarikan alam sekitar,” katanya.
Ketua Fasilitator Program, Professor Madya Dr Siti Akhtar Mahayuddin, menjelaskan data yang dikumpul akan digunakan untuk merancang strategi pengurusan sisa yang lebih berkesan.
Peserta menghadapi pelbagai cabaran termasuk mengumpul sampah besar seperti tayar dan tong kosong yang terbenam dalam pasir. Walau bagaimanapun, semangat kerja berpasukan membantu mereka mengatasi halangan.
Program turut merangkumi cabaran “Sampah Terunik” dan sesi fotografi sebelum dan selepas pembersihan untuk mendokumenkan usaha peserta.
UiTM Cawangan Perak berharap program seumpama ini dapat diteruskan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Penulis bersama : Noor Rizallinda Ishak, Wan Nur Syazwani Wan Mohammad, Raja Nurulhaiza Raja Nhari, Farah Salwati Ibrahim, Wan Nur Hanani Wan Abdullah