Pensyarah UiTM Pahang Sertai Penulisan Ensiklopedia Serangga Berprestij

JENGKA, 15 Jan – Dr. Haji Muzamil bin Haji Mustaffa, pensyarah kanan Biologi dari Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, telah diiktiraf sebagai penulis bersama dalam penerbitan berprestij, Ensiklopedia Serangga, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Ensiklopedia ini dilancarkan pada penghujung tahun 2024.

Penerbitan ini menyokong inisiatif GRU 2025 UiTM dengan memenuhi dua Performance Indicator (PI) UiTM Cawangan Pahang, iaitu PI023 yang melibatkan kolaborasi dengan agensi, industri, NGO, serta IPT tempatan dan antarabangsa, dan PI057 yang berkaitan dengan penerbitan oleh UiTM Press dan penerbit lain.

Ensiklopedia Serangga melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai institusi, termasuk University of California, Riverside, Amerika Syarikat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaya, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, Zoo Negara Malaysia, serta beberapa agensi kerajaan dan swasta lain.

Dengan 406 mukasurat, ensiklopedia ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan memberikan pendedahan kepada pembaca dari pelbagai peringkat mengenai ilmu berkaitan serangga. Penerbitan ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 15 yang menekankan perlindungan, pemulihan, dan penggunaan lestari ekosistem daratan, pengurusan hutan secara lestari, serta usaha membanteras kemerosotan tanah dan kehilangan biodiversiti, terutamanya serangga.