RAUB, Januari 2025 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub, telah berjaya menganjurkan program “FPP Legacy Night: Path to the Future” bertempat di Bilut Hills Resort. Program yang diuruskan sepenuhnya oleh Business Society sesi 2023/2024 ini memberi penghargaan kepada mahasiswa semester akhir atas usaha dan pencapaian mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum sepanjang pengajian diploma. Acara ini dihadiri oleh lebih 120 peserta, termasuk mahasiswa, pensyarah, dan ahli jawatankuasa pelaksana. Dengan tema “Golden Hour Gala,” majlis ini bertujuan mencipta suasana ekslusif dan elegan sambil mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah. Aktiviti yang dianjurkan termasukkah persembahan nyanyian daripada pelajar, sesi cabutan bertuah, dan penyampaian pelbagai anugerah seperti Anugerah Mahasiswa Terbaik, Anugerah Kepimpinan Terbaik, dan Anugerah Olahragawan Terbaik.
Program ini bermula pada pukul 8.00 malam dengan kehadiran dif-dif jemputan, termasuk pensyarah dan pelajar semester akhir FPP. Lagu kebangsaan dan lagu rasmi UiTM mengiringi permulaan majlis, diikuti dengan bacaan doa untuk memberkati acara ini. Dalam ucapan perasmian, Dr. Norul Huda, yang menjadi tetamu kehormat, menekankan kepentingan usaha berterusan dalam pendidikan. Beliau turut menyampaikan sebuah puisi khas yang menyentuh hati para hadirin, mencerminkan rasa bangga dan terharu terhadap pencapaian pelajar-pelajar.
Program ini turut menepati Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3) iaitu “Good Health and Well-being,” dengan memberi fokus kepada kesihatan mental dan kesejahteraan emosi para peserta. Melalui aktiviti yang menyeronokkan dan sesi apresiasi, program ini berjaya mengurangkan tekanan dan meningkatkan semangat mahasiswa untuk menghadapi cabaran semester akhir mereka. Menurut Pengarah Program, Raja Fitri bin Raja Azmi, FPP Legacy Night bukan sahaja sebuah majlis penghargaan tetapi juga peluang kepada ahli jawatankuasa untuk mendapatkan pengalaman menguruskan acara besar.
“Kami berharap program ini dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus aktif dan berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya.
Sebagai penutup, para peserta berkumpul untuk sesi bergambar, mencipta kenangan manis bersama sebelum bersurai. Kejayaan penganjuran acara ini adalah hasil kerjasama erat antara mahasiswa, pensyarah, dan pihak pengurusan UiTM. Dengan impak positif yang telah dibuktikan, program ini amat digalakkan untuk diteruskan pada semester akan datang sebagai platform penghargaan dan penyatuan warga fakulti.
Penulis (1) Siti Syamira Binti Mohd Ramli, (2) Wan Nurashikin Binti Mahmood