JENGKA, 20 Disember 2024 – Isu pemanasan global kini memberi kesan kepada setiap organisma di bumi dan tidak terkecuali mikroorganisma. Justeru demi mendalami isu ini, program Pengajaran Kolaboratif gabungan dua kursus, BDY514 (Kepelbagaian Mikrob) dan BDY532 (Perubahan Iklim Global) telah berjaya dijalankan secara atas talian oleh Jawatankuasa Pengajaran Kolaboratif, Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka.
Program selama dua jam ini bertujuan meningkatkan kualiti pembelajaran dengan mencipta peluang kepada pelajar mendapat maklumat secara terus daripada tiga orang pensyarah jemputan yang mengupas tajuk “The Consequences of Global Warming on Microbial Ecosystems”. Selain itu, program ini juga sebagai medan perkongsian ilmu dengan isu semasa dan kajian saintifik berkenaan kesan pemanasan global terutamanya kepada kepelbagaian mikrob dalam memberikan perkhidmatan ekologikal serta kesihatan dan kesejahteraan manusia. Program ini memberi implikasi positif mendukung SDG 4 (Quality Education) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) yang mana kerjasama pendidik luar dan dalam negara, masing-masing dari Bahauddin Zakariya University, Multan (Pakistan) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sejumlah 63 peserta telah turut serta dalam program ini dan mereka merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pengurusan Biodiversiti (AS255) yang mendaftar subjek BDY514 atau BDY532 pada sesi 1 2024/2025. Program ini dimulakan dengan pembentangan oleh pensyarah jemputan Dr. Mamoona Amir (Pensyarah dari Universiti Bahauddin Zakariya, Multan, Pakistan), dan kemudian diikuti oleh Cik Siti Suhaila Binti Harith (Pensyarah rujukan subjek BDY514) dan Puan Wan Siti Atikah Binti Wan Omar (Pensyarah rujukan subjek BDY532). Program ini juga turut memberi peluang kepada Cik Khairul Nisak Binti Mohamad Sharin, seorang pelajar AS255 mengasah bakat beliau sebagai pengerusi majlis.
Pihak Pusat Pengajian Sains dan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka menerima penghargaan atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan pelaksanaan program ini. Sokongan tersebut telah memastikan kelancaran program dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Program ini diharap terus memberikan impak positif kepada pelajar serta organisasi yang terlibat.
Penulis: Siti Suhaila Binti Harith (Utama) dan Wan Siti Atikah Binti Wan Omar